~أشهد أن لا إله إلا الله وأشهد أن محمدا رسول الله~

Tuesday, August 14, 2012

~Anak ustazah?~

Bismillahirrahmaanirrahiim..
Assalamu'alaikum wbt..

'Cursor' bergerak mengikut rentak jemariku. Facebook. Ya, butang itu yang ku tekan. Seperti biasa, aku melihat-lihat halaman utama. Ingin mengetahui apa-apa berita terkini sekiranya ada. Mencari-cari perkongsian yang bisa mendatangkan pahala dengan izin-Nya. Namun, seketika aku terkedu. Gambar profil yang memaparkan salah seorang sahabat lamaku kini terhidang di hadapan mataku. Hatiku terdetik.

"Cantiknya rambut dia.."
"Make-upnya.. menawan sekali.."
"Pakaiannya..macam majoriti artis-artis sekarang..Sangat bergaya!"

Lantas ku tersedar..'Up-to-date'kah ini? Hati kecilku bermonolog sendiri.

Tanpa sedar, tubir mataku bergenang. Kolam kecil mula bertakung. Sebak tiba-tiba menakluki kerajaan hati. Air mata, menunggu masa membanjiri pipiku sahaja. Dalam diam, aku kagumi kecantikan sahabatku itu. Dalam diam juga aku menangisi kecantikan sahabatku itu.

Mengapa dan kenapa? Di mana silapnya?

Sahabatku Laila itu, suatu masa dahulu seorang yang sangat aku cemburukan. Dia cantik pada pandanganku. Suaranya merdu, lunak pada pendengaranku. Kami sama-sama di dalam sebuah kumpulan nasyid sekolah. Dia sangat pandai mengaji. (Waktu itu, aku boleh mengaji. Namun, mungkin tidak selancarnya. Hukum tajwid juga aku tidak ingat. Sungguh, aku jahil waktu itu.)

Suasana keluarganya juga solehah. Mamanya, seorang ustazah, bapanya juga seorang pendidik. Dia sangat dikenali di sekolahku kerana penglibatannya di dalam pelbagai aktiviti. Dia yang mengajarku bagaimana cara untuk terlibat dalam kegiatan sekolah. Dia mengajak aku memasuki pertandingan nasyid, tarian dan sebagainya. Meningkatkan keyakinan aku. Dia punya seorang abang dan kakak yang bijak. Punya adik-adik yang sangat comel kurasakan. Seseorang yang sangat aku minati sewaktu kecilku juga sangat menyukainya.

Meskipun cemburu, bagiku itulah bahagia.. Meskipun aku cemburu, tapi aku sayang kepadanya. Meskipun aku cemburu, sayangku padanya mengatasi rasa cemburu itu. Lagipun, ketika itu aku hanyalah seorang budak hingusan. Yang perilakunya, kurang sikap keperempuanan. Tomboi? Erm..tidak juga. Cuma aku biasa-biasa sahaja. T-shirt lengan pendek dan seluar trek berserta tudung yang diikat ke belakang, itulah pakaianku. Sukan? Bola tampar? Acara larian? Hoki? Itu kegemaranku. Baju kurung? Make-up? Ah..aku tidak suka perkataan itu. Boleh dikira berapa helai sahaja baju kurung yang aku punya. Make-up? Untuk gadis kecil sepertiku, aku tidak perlu. Sungguh, nampak macam perempuan. Err..walaupun aku sememangnya perempuan. Hurm..tapi itu semua, dahulu.. Ketika masih di bangku sekolah rendah. Aku tekankan, di bangku SEKOLAH RENDAH. Normal, bukan?

Jauh bezanya aku dengan sahabatku itu. Kemudian, keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan. Alhamdulillah, kami sama-sama mendapat 5A waktu itu. Sahabatku itu dihantar ke sekolah agama dan kehendak ummi untuk menghantarku ke sebuah sekolah agama ku akur. Ya, aku belajar di sana. Tapi tidak lama. Setahun cuma. Namun, di sana aku didedahkan dengan suasana yang sangat indah kurasakan. Apa yang membentukku kini mungkin suasana di sana. Di sana, aku mula mengenali usrah ((keluarga) yang terdiri dalam kalangan sahabat-sahabatku sendiri dan kakak-kakak naqibahku.

Fitrah hati, suka pada kebaikan. Aku terikut-ikut dengan sahabat-sahabatku di sana. Tudungku, terasa janggal bila tidak labuh dan di atas dada. Kakiku, terasa aneh andai tiada yang membaluti. Pakaianku, terasa pelik tatkala persalinan ketat disarungkan pada tubuhku.

Di mana t-shirt lengan pendekku? Hanya sesuai di dalam rumah sahaja. Aku tidak lagi berani menyarungnya di luar rumah. Tidak aku nafikan, perubahanku itu ternyata dipengaruhi oleh kakakku yang mula berjinak-jinak dengan tudung labuh dan stoking kaki. Pada mulanya, ku fikir kaki itu bukannya aurat. Ternyata tidak tepat. Salah andaianku. Aku kadang-kadang ketawa dan ada kala sedih sendiri memikirkan diriku yang lampau. Jahil sungguh diriku. Astaghfirullahal'adhzim.

Setelah aku berpindah ke sekolah baruku yang lebih dekat dengan rumahku, alhamdulillah aku masih dipelihara Allah untuk terus istiqamah dengan tudung labuh dan sarung kaki. Di sekolah baruku itu, aku aktif bersukan, nasyid dan sebagainya. Walaupun menjadi salah seorang atlet sekolah, sedaya-upaya aku cuba menjaga auratku. Sehabis cara aku cuba menjaga pergaulanku. Ya, perlu ada batasan antara aku dengan mereka, lelaki asing bagiku. Aku ingin menjadi teladan kepada adik-adikku yang sangat aku sayangi. Mereka juga atlet sekolah. Aku tidak mahu mereka terikut-ikut dengan kebanyakan atlet yang lain. Tidak! Mereka amanahku. Aku cuba menjaga mereka. Pergaulan mereka cuba ku kawal. Fikiran mereka ku cuba terapkan dengan nilai-nilai Islam. Aku kakak mereka dan aku sangat menyayangi mereka.

Berkenaan nasyid? Pernah seorang sahabatku yang sangat prihatin menegurku.

"Awak..semua aurat awak dah cover. Tinggal satu aje lagi." Aku memandangnya yang sedang tersenyum.

"Apa dia..?" Soalku penuh minat.

"Suara awak.." Allah! Terasa bagai dihempuk fikiranku. Benar apa yang dikatakannya. Aku tersenyum kepadanya.

"Mungkin nanti.. Kita sama-sama doa ya.."
Ujarku seraya merapatkan diri dengannya. Dia tersenyum. Dia juga salah seorang ahli nasyid sekolah. Mungkin disebabkan itu aku agak rapat dengannya. Dia sedia maklum aku penyanyi utama nasyid, jadi suaraku tentunya lebih jelas, yang menimbulkan isu suaraku adalah aurat. Pernah aku meminta diajarkan bermain alat-alat nasyid kerana aku mahu mengelak dari menyanyi solo, tetapi guruku tidak membenarkanku. Aku memujuk hati agar dilupakan sahaja niatku untuk menyanyi. Suara itu aurat. Berkali-kali ku bisikkan di dalam hati. Namun syaitan dan nafsu lebih menguasai diri. Aku masuk nasyid lagi! Astaghfirullahal'adhzim.

Seterusnya, perjalanan kehidupan sekolahku diteruskan seperti biasa.

"Eh..siapa tu? Budak baru?" Kata-kata yang penuh dengan nada ingin tahu itu ku dengari. Aku mencari-cari figura budak yang tidak aku kenali. Semuanya terasa familiar sahaja.Pandanganku melihat sekeliling lagi.

Pantas mataku tertancap kepada seorang budak perempuan yang sebayaku. Celak menghiasi matanya yang indah. Agak singkat tudungnya sehingga bisa menampakkan singlet putih yang dipakainya di bahagian dalam. Uniform putih sekolah pula terlihat sendat. Kain disingkatkan hingga ternampak kaki yang disarung dengan stoking kaki yang pendek.

"Macam kenal sahaja.." Bisikku perlahan terhadap diriku sendiri.
"Laila? Lailakah itu?" Mataku cuba menganalisa dengan lebih tepat. Hatiku sedaya-upaya menidakkan. Tidak mahu percaya apa yang di hadapanku ketika itu.

"Siapa dia tu?"
"Oh..Kawan aku. Dia baru transfer sekolah kita. Dulu sekolah agama tu. Anak ustazah lagi."
"Cantiklah dia. Mesti ramai nak rebut dia lepas ni. Jeles aku! Hahaha.. Dia satu kelas dengan kau ke?"
"Iyalah.."
"Mesti nanti kau dah tak laku ni. Hahaha.. Nak lelong berapa kau ni? Barang lama..Antik!"
"Amboi kau sedap mengata aku. Kau pun sama aje. Berkarat dah pun. Tahap besi buruk.."
"Eh budak ni aku cepuk jugak karang..Hahaha.."
"Diamla kau! Asyik ketawa je kau tahu. Aku cabut gigi kau, nak?"


Perbualan kedua pelajar sebaya dengannya itu turut diikuti. Barang lama ke, besi buruk ke, atau gigi ke? Gigi? Ah..aku tak kisah! Mataku tidak mungkin menipu. Telingaku juga tidak mungkin berdusta. Namun hatiku tetap menafikan segalanya!

Itu benar Laila, sahabat yang sangat aku kagumi dahulu. Tapi kenapa dia berubah?

"Lihatlah dengan siapa dia berkawan.." Satu suara kecil di dalam hatiku berbicara. Pengaruh kawan? Hurm..mungkin juga?

Ummi dia tahu tak pasal ni ya? Hatiku berkira-kira sendiri..
Tiba-tiba hatiku terasa sayu. Aku letakkan diriku di tempat umminya.
Sedih..Kecewa itu pasti..
Ya Allah, lindungi zuriat-zuriatku nanti daripada nafsu yang jahat ya Allah.. Jadikan mereka pemuda-pemudi acuan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW..ameen..

Benar..Iman tak dapat diwarisi..
Ia perlu dicari..Apabila sudah jumpa, gilap sendiri..
Cahaya iman itu akan dirasa dalam hati, terpancar pada wajah dan tersinar pada akhlak.
Hasilnya, TAQWA!
Susah kan mahu istiqamah? Tapi kita kan boleh cuba?
Allah aku mohon agar ditetapkan imanku dalam menjaga syariat-Mu.
Moga Allah meredhai apa yang aku, ummi dan abahku, ahli keluargaku, sahabat-sahabatku dan orang-orang yang aku sayang lakukan..

Pesananku buat diriku dan sahabat-sahabat semua..
Tolong! Jaga hati, jaga iman dan jaga diri. Kita mungkin bukan anak ustazah..
Mungkin bukan anak ustaz.. jua mungkin bukan anak insan-insan yang hebat..
Tapi kita boleh jadi apa sahaja yang hebat dengan keyakinan yang tinggi dan ketaqwaan kepada Allah..
Dan kita juga mungkin anak ustaz dan ustazah..
Anak pak imam..Sebab tulah, jaga diri kita. Kita adalah blue-print mak ayah kita, kan?
Aku tak cakap semua anak ustazah macam tu, tapi kita ambil pengajaranlah. Ramai aje anak ustaz dan ustazah yang cemerlang! InsyaAllah dunia dan akhirat.. Aku juga punya sahabat yang anak ustazah, dan alhamdulillah akhlaknya mantap! Aku banyak belajar daripadanya. Aku juga tak cakap semua yang bukan anak ustazah ni baik-baik..tapi tetap ada yang baik, kan?Moga Allah redha..ameen. Maaf andai tulisanku mengguris mana-mana hati. Ini hanya pendapatku buat masa sekarang.. Andai ada yang tidak setuju, silakan beri hujah kalian. Aku, insyaAllah seorang yang fleksibel..

*Usah ditanya cerita di atas benar atau tidak. Anggaplah ia sebuah cerita yang boleh kita semua ambil pengajaran daripadanya.
Allah jua yang mengetahui segala.. Wallahu'alam..

Assalamu'alaikum wbt..


~^^~Subhanallah..Alhamdulillah..Laa ilahaillallah..Allahuakbar~^^~

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

The Cutest Blog ^^,


Copyright© All Rights Reserved halaqahcinta-muslimah.blogspot.com